Pages

Wednesday, December 17, 2008

Soto Ayam Bayu Puteri

Bahan-bahan Sup

1 ekor ayam
2 batang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
3 biji bunga lawang
5 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar biji ketumbar
Minyak masak untuk menumis
Air
Garam

Bahan begedil

10 biji kentang kuning
Isi ayam yang digoreng
Bawang goreng
Garam
Daun ketumbar
Daun bawang
Lada sulah
Lada hitam
Telur

Bahan kicap cili

Cili padi (ikut suka, nak berasap kepala... letakla semangkuk)
Bawang putih
Kicap manis
Cuka
Gula

Bahan lain

Nasi impit
Isi ayam yang digoreng
Su-un
Taugeh
Kacang tanah
Bawang goreng
Daun ketumbar
Daun bawang

Cara memasak

Sup Ayam
Ayam di potong sederhana. Tumbuk hingga lumat bawang, halia dan bawang putih. Asingkan. Tumbuk pula jintan manis, jintan putih, ketumbar dan lada hitam. Dalam stock pot, panaskan minyak untuk menumis. Tumiskan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Masukkan bawang yang ditumbuk lumat. Tumis sehingga kekuningan dan wangi. Kemudian masukkan bahan rempah yang ditumbuk. Tumis lagi hingga naik bau rempah.

Tuangkan air, sebanyak mana yang perlu. Untuk soto, kita biasanya perlukan kuah yang banyak. Oleh itu, jumlah air perlulah diletak secukupnya. Masukkan ayam, kacau sup, tutup periuk dan renehkan sup selama 1 jam. Pastikan api gas ditukar kepada tahap rendah (low heat).

Selepas 1 jam, keluarkan ayam dan biarkan sejuk. Pada masa ini, boleh la ditambah garam untuk memberi rasa kepada sup.
Ayam yang dibiarkan sejuk perlu dicarikkan halus-halus. Setelah selesai, masukkan semula tulang-tulang ayam yang berlebihan ke dalam periuk sup. Isi ayam yang telah dicarik ini perlu digoreng sedikit dengan minyak untuk memberikan aroma dan rasa yang lebih enak. Isi ayam perlu dibahagi dua - satu untuk bergedil dan satu untuk bahan soto sendiri.

Begedil Ayam
Kentang di kupas dan di potong menjadi kepingan-kepingan setebal 1/2 inci. Gaulkan dengan garam dan goreng dengan minyak sehingga kentang bertukar kuning keemasan dan separuh garing. Kentang yang selesai digoreng hendaklah ditumbuk hingga hancur dan boleh dikepal. Di dalam mangkuk, campur kan kentang, isi ayam yang telah digoreng, bawang goreng, daun bawang dan daun ketumbar yang dihiris halus. Tambahkan juga garam, lada sulah dan lada hitan untuk perasa. Gaul hingga rata. Pecahkan sebiji telur ke dalam adunan. Kepalkan menjadi begedil yang comel. (Kalau suka besar2.. sukahati ler.. tapi nanti susah goreng).

Panaskan kuali dengan minyak. Pecahkan telur dalam mangkuk dan kacau telur. Salutkan begedil dengan telur sebelum menggoreng. Goreng hingga kekuningan/masak.

Kicap cili
Cili padi dan bawang putih ditumbuk hingga lumat. Campurkan bahan yang ditumbuk dengan kicap manis, tambahkan sedikit cuka serta gula.

Bahan-bahan lain
Nasi impit seeloknya direbus terlebih awal supaya ianya sejuk dan mudah dipotong. Biasanya kita potong bentuk cube macam nasi impit sate tu. Sukahati la nak potong mcm mana pun. Su-un ni perlu digoreng dengan minyak panas. Kejap je dia dah kembang macam keropok. Tapi harus diingat. Su-un ni tak leh dibasuh. Kalau basuh, sure tak jadi. Ataupun, kalau dibasuh, dikeringkan semula then baru goreng. Taugeh dicelur. Kacang tanah perlu digoreng tanpa minyak. Bawang kecil dihiris nipis dan digoreng - jadi la bawang goreng. Daun-daun ketumbar dan bawang dihiris nipis.

Penyediaan

Biasanya kita makan soto ni dalam mangkuk. So, dalam mangkuk tu, letakkan nasi impit, begedil, isi ayam goreng dan taugeh. Tuangkan kuah dan barulah tabur kacang, bawang goreng, daun ketumbar dan daun sup serta letakkan kicap cili. Hidang panas-panas. ;)

No comments: